Bilawal ganti Benazir
NAUDERO, Pakistan 30 Dis. – Anak lelaki tunggal Benazir Bhutto, Bilawal, 19 tahun hari ini dilantik menerajui Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan bekas perdana menteri itu, bersama-sama ayahnya yang juga suami Benazir, kata pegawai rasmi parti itu.
‘‘Keputusan telah dibuat bahawa Bilawal akan menjadi pengerusi manakala Asif Ali Zardari, 51, pula pengerusi bersama,’’ kata salah seorang pegawai rasmi parti itu di Naudero di mana para pegawai tertinggi PPP bermesyuarat.
Seorang pegawai PPP berkata, wasiat Benazir sudah dibacakan di mana ia menamakan Asif Ali sebagai pengganti, tetapi dia menyerahkan tampuk kepimpinan itu kepada anak lelakinya, Bilawal.
“Ibu saya selalu berkata, demokrasi adalah balas dendam yang terbaik,” kata Bilawal ketika bersumpah untuk meneruskan perjuangan ibunya.
Pada masa yang sama, PPP juga memutuskan untuk menyertai pilihan raya dan Asif Ali meminta seorang lagi pemimpin pembangkang, Nawaz Sharif agar tidak memboikot pilihan raya yang masih belum diputuskan sama ada akan diteruskan pada 8 Januari ini atau ditangguhkan.
Suami kepada Benazir itu juga meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan Britain menjalankan siasatan terhadap pembunuhan isterinya selain menyeru penunjuk perasaan supaya mengawal diri dan mengundi untuk PPP dalam pilihan raya nanti.
Sebelum ini, pembantu kanan Benazir Sherry Rehman berkata, Bilawal yang nama memberi maksud ‘tiada yang setandingnya’, belum lagi berminat untuk berkecimpung dalam politik secara serius dan bapanya Asif Ali akan mengambil alih sementara sehingga anak lelakinya itu bersedia.
Menurut Sherry, remaja itu belum bersedia untuk menceburi arena politik.
“Beliau masih terlalu muda, baru berusia hampir 20 tahun. Dia akan menyambung semula pelajarannya,,” katanya.
Bilawal lahir pada September 1988, sebulan sebelum ibunya memenangi pilihan raya di bawah kepimpinan Presiden Zia ul-Haq seterusnya menjadikannya Perdana Menteri wanita pertama di Pakistan dan di negara Islam.
Beliau, pelajar jurusan undang-undang dilihat sudahpun mengikut bakat kepimpinan ibunya apabila mendaftarkan diri di Universiti Oxford awal tahun ini yang mana Benazir pernah menjadi ketua kelab debat universiti itu.
Pemilihan itu menjadikan Bilawal generasi ketiga dari keluarga Bhutto memegang tampuk pimpinan parti PPP dan legasi kepimpinan keluarga berkenaan akan terletak di bahunya.
Sebelum ini, para pegawai PPP berkata, jika Bilawal benar-benar terpilih, parti itu akan membentuk satu majlis penasihat yang diketuai oleh Asif Ali sehinggalah remaja itu tamat pengajian dan bersedia memimpin PPP secara sepenuh masa.
Sementara itu, seorang penganalisis juga menyifatkan Bilawal masih muda dan perlu dipimpin lagi sambil menambah suami Benazir yang dikenali sebagai Mr. Ten Percent mempunyai rekod yang amat buruk dan tidak sesuai menjadi pemimpin PPP kerana didakwa menerima rasuah ketika isterinya berkuasa.
Dalam perkembangan lain, pilihan raya Pakistan dijangka ditunda berikutan pembunuhan Benazir Bhutto, Khamis lalu yang telah menjerumuskan negara itu ke kancah huru-hara.
Menurut Setiausaha Penerangan Parti Liga Muslim Pakistan-Q, parti yang menyokong Presiden Pervez Musharraf, Tariq Azim, jika ia diteruskan, kredibiliti pilihan raya akan terjejas teruk.
Ini kerana para penyokong PPP masih lagi dalam keadaan bersedih serta terdapat beberapa parti lain yang mengancam untuk memboikot pilihan raya ini jika ia diteruskan.
Tariq menjangka keputusan itu akan diumumkan dalam masa 24 jam.
– Agensi
Sumber: Utusan Malaysia 31/12/2007
Pesan
Tuesday, January 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment